SoalanUstaz, apakah hukum ‘oral sex' ?
atau dalam kata lainnya seks menggunakan mulut iaitu dengan menghisap
atau menjilat kemaluan isteri atau mengulum kemaluan suami. Bagaimana
pula jika ia dilakukan oleh pasangan kekasih yang belum berkahwin,
adakah ia zina? Jika tertelan air mani suami pula ustaz, bagaimana
ye?..Terima kasih atas jawapan ustaz.- Anak Empat -
Jawapan
Berkenaan isu oral seks, ulama terbahagi kepada dua kumpulan :-
Yang mengharuskan :
Dr Syeikh Yusof Al-Qaradawi (rujuk www.islamonline.net)
berfatwa harus untuk mencium kemaluan isteri atau suami dengan syarat
tidak menghisap atau menelan apa jua cecair yang keluar darinya. Menelan
atau menghisap sebegini adalah MAKRUH disisi Islam kerana ia salah satu
bentuk perlakuan zalim (meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya) dan
melampaui batas dalam hubungan seksual.
Apa yang pasti diharamkan menurut
beliau adalah ‘anal sex' atau seks melalui lubang dubur, kerana terdapat
nas yang jelas mengharamkannya, adapun ‘oral seks' tiada sebarang nas
jelas dari Al-Quran dan hadis yang melarangnya.
Pandangan ‘harus' atau boleh dilakukan
ini dikongsi oleh Mufti Mesir, Syeikh Dr Ali Al-Jumaah dan juga Dr.
Sabri `Abdul Ra'ouf (Prof Fiqh di Univ Al-Azhar) apabila mereka
menegaskan, tindakan ini harus selagi mana ianya benar-benar dirasakan
perlu bagi menghadirkan kepuasan kepada pasangan suami dan isteri,
terutamanya jika ia dapat menghindarkan pasangan ini dari ketidakpuasan
yang boleh membawa mereka ke lembah zina kelak.
Perbincangan ringkas
Namun begitu, saya kira kesemua mereka
yang mengharuskan termasuk Syeikh Yusof Al-Qaradawi tidak pula
menghuraikan satu isu yang mungkin boleh dipanjangkan perbahasannya,
iaitu bab kenajisan air mazi dan air mani.
Justeru, saya mengira fatwa beliau
mungkin boleh digunakan jika dalam keadaan tiada sebarang cecair
dikeluarkan semasa aktiviti oral sex ini dilakukan. Namun keadaan ini
dikira sukar berlaku kerana bagi seseorang yang normal, nafsu yang
meningkat pastinya akan mengeluarkan cecair pelincir iaitu mazi.
Air mani lelaki dan wanita dianggap najis menurut mazhab Hanafi dan Maliki. Mazhab Syafie dan Hanbali pula mengganggapnya suci.
Namun semua ulama bersetuju air mazi
adalah najis. Hasilnya, majoriti pandangan ulama yang menyatakan menelan
dan hisap termasuk cecair mazi ini adalah haram atau makruh berat.
Beberapa ulama kontemporari menegaskan perlu membasuh dengan segera jika
terkena mazi tadi.
Mazi ibarat najis lain yang dianggap
kotor dalam Islam, justeru haram memakan tahi, meminum air kencing dan
termasuk juga air mazi ini. Bukan sekadar haram memakan najis malah
ulama empat mazhab juga memfatwakan haram menjual najis (kecuali
diketika wujudnya teknologi untuk menggunakannya sebagai baja), apatah
lagi untuk menjilat, hisap dan menelannya. Sudah tentulah ia lebih lagi
diharamkan.
Selain itu, menurut undang-undang Malaysia juga ia adalah
satu perara yang tidak normal, khusus buat orang yang agak luar biasa
nafsunya.
"Oral seks" juga tergolong dalam
kategori perlakuan seks luar tabie, ia adalah salah menurut Seksyen 377B
Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sebat
dan 20 tahun penjara.
Justeru, mana-mana pasangan kekasih yang
melakukan perkara ini, boleh dilaporkan dan diambil tindakan oleh
undang-undang Malaysia. Dari sudut undang-undang Islam, ia dikira
berdosa besar dan bolehlah dijadikan sebat dan 20 tahun penjara tadi
sebagai peruntukan ta'zir di dalam Islam bagi mereka yang sabit
bersalah.
Ulama Yang Mengharamkan
Kebanyakan ulama Saudi mengharamkan perbuatan ini, ini dapat dilihat dari fatwa-fatwa berikut [1] :-
Mufti Saudi Arabia bahagian Selatan, Asy-Syaikh Al`Allamah Ahmad bin Yahya An-Najmi menjawab sebagai berikut,
"Adapun hisapan isteri terhadap
kemaluan suaminya (oral sex), maka ini adalah haram, tidak dibolehkan.
Ini Kerana ia (kemaluan suami) dapat memancarkan mani, mazi dan
lain-lain. Kalau memancar, maka akan keluar darinya air mazi yang ia
najis menurut kesepakatan (ulama'). Apabila (air mazi itu) masuk ke
dalam mulutnya lalu ke perutnya maka boleh jadi akan menyebabkan
penyakit baginya.
Melalui pandangan ini, kita dapat
melihat satu point yang penting, iaitu sejauh mana tindakan ini boleh
memberikan kesan buruk kepada kesihatan pasangan. Menurut pembacaan
saya, ulama yang membolehkan perilaku ini juga bersetuju untuk
mengganggapnya haram jika dapat dipastikan dan dibuktikan dari sudut
saintifik, ia boleh membawa bakteria dan menyebabkan penyakit yang
serius.
Saya teringat pakar sakit puan, Dr
Ismail Thambi pernah menyatakan bahawa bakteria yang berada di mulut
adalah sangat banyak berbanding di kemaluan, justeru beliau menyatakan
tindakan ‘oral sex' dibimbangi boleh membawa penyakit kemaluan
disebabkan bahagian mulut pasangan yang mempunyai banyak bakteria dan
kuman.
Selain itu, seorang lagi ilmuan Islam iaitu Syeikh Nasiruddin Albani berkata :-
"Ini adalah perbuatan sebahagian
binatang, seperti anjing. Dan kita mempunyai dasar umum bahawa di dalam
banyak hadits, Ar-Rasul melarang untuk tasyabbuh (menyerupai)
haiwan-haiwan, seperti larangan beliau turun (sujud) seperti turunnya
unta, dan menoleh seperti tolehan serigala dan mematuk seperti patukan
burung gagak. Dan telah dimaklumi pula bahawa Nabi Shallallahu `alahi wa
sallam telah melarang untuk tasyabbuh (menyerupai) dengan orang kafir,
maka diambil juga daripada makna larangan tersebut pelarangan tasyabbuh
dengan haiwan-haiwan-sebagai penguat yang telah lalu, apalagi haiwan
yang telah diketahui keburukan tabiatnya. Maka sewajarnya seorang muslim
- dan keadaannya seperti ini - merasa tinggi untuk menyerupai
haiwan-haiwan"
Namun, pendapat peribadi saya
mendapati pandangan dan dalil yang digunapakai oleh Syeikh Albani ini
adalah tidak begitu kukuh, namun saya tidak berhasrat untuk
membincangkannya dengan panjang lebar di ruang ini.
Tindakan men‘generalize' semua jenis
persamaan (tasyyabbuh) sebagai haram secara total juga boleh didebatkan
kesohihannya. Demikian juga menyamakannya dengan perilaku binatang,
benarkah binatang melakukan ‘oral seks'?, jika sekadar menjilat mungkin
ye, namun menghisap kemaluan si jantan? Adakah binatang yang
melakukannya?. Saya tidak pasti. Bagaimana pula binatang ada juga yang
mencium dan memeluk pasangannya. Adakah mencium dan memeluk juga
diharamkan kerana menyerupai binatang.? Sudah tentu tidak.
KESIMPULAN
Melalui perbincangan dan pendedahan
ringkas di atas, jelas kepada kita perbezaan dua kumpulan ulama ini.
Dari hasil penelitian terhadap pendapat mereka bolehlah saya rumuskan
bahawa :-
1) Elok dijauhi aktiviti ini dan
menghadkan kepada perilaku seks yang lebih sihat bersama pasangan. Ini
bagi menjauhi perklara khilaf.
2) Harus bagi suami isteri untuk
mencumbu kemaluan pasangan mereka dengan syarat tidak menghisap, jilat
dan menelan apa jua cecair. Ia juga dituntut untuk membersihkan mulut
dan kemaluan mereka sebelum melakukan aktiviti ini sebaik mungkin bagai
meninimakan kemungkinan penyakit. Namun ia makruh yang cenderung kepada
haram (makruh tahrimi) jika perbuatan ini sengaja untuk meniru-meniru
perbuatan aksi seks melampau golongan bukan Islam dan juga binatang.
3) Haram hukumnya menelan mazi dan
mani pasangan kerana Islam mengharamkan umatnya dari melakukan perkara
kotor sebegini, sama juga seperti diharamkan menjual najis (kecuali baja
yang akan diproses melalui dengan bahagian kimia)
4) Hukumnya menjadi harus berdasarkan
keringanan khusus yang diberi oleh Islam atau disebut ‘rukhshah' kepada
pasangan yang amat perlukannya bagi mengelakkan ketidakpuasan dan
membawa masalah besar rumah tangga atau lebih dahsyat lagi, zina secara
rambang diluar rumah.
5) Hukum melakukannya bersama pasangan
kekasih atau mana-mana pasangan sebelum nikah yang sah adalah haram,
dosa besar dan boleh didakwa dengan hukuman 20 tahun penjara di
Malaysia. Namun ia tidak dianggap berzina dalam erti kata dan takrif
zina yang disebut di dalam kitab-kitab Fiqh Islam. Ia hanya dianggap
sebagai muqaddimah zina atau perdahuluan zina. Dalam kaedah fiqh Islam,
"Apa-apa yang membawa kepada haram, hukumnya adalah haram jua"
Sebagai akhirnya, selain dari
membincangkan soal hukum, kita mesti jelas bahawa hukum Islam sentiasa
ingin melahirkan keutuhan rumah tangga dan masyarakat. Kita mesti sedar
dan berfikir samada tindakan oral seks ini benar-benar membawa sesuatu
yang berharga buat keharmonian rumahtangga kita, dan apa pula kesannya
kepada nafsu diri. Adakah ia semakin mampu dikawal atau semakin buas
sebenarnya.
Kita bimbang, tindakan ini boleh membawa kepada keinginan
nafsu yang semakin membara dan tidak terkawal sehingga membhayakan diri
dan masyaarakat di sekeliling kita disebabkan nafsu buas dan luar biasa
yang sentiasa dilayan ini. Layanlah nafsu secara berpada-pada agar
tidak ditawan olehnya kelak. Fikirkan...
Sekian